Saturday, September 25, 2010

Guru ku yg kedua; Allahyarham Ustaz Ishak Itam

*Pengalaman berhadapan pengguna '4 kaedah' ketika di IPT membawa aku kpd Silat Cekak juga dikenali Silat Papan Sekeping / Silat Kedah.

Berikut adalah kisah guru ku yg kedua; Ustaz Ishak Itam

Tenang dan damai raut wajahnya.
Terkeliru umum akan tingkahnya.
Marahnya mendidik, bukan menghina.
Senyumnya menawan penuh rahsia.

Tuan Haji Ishak bin Itam sejak dari kecil lagi telah meminati seni silat Melayu, iaitu bermula dari umur 9 tahun sehingga ke umur 18 tahun beliau telah mempelajari Silat Gayung Fatani melalui bapa saudaranya En. Bakar dan En. Shafie b. Din. Seterusnya beliau mempelajari Silat Kuntau Jawa dari En. Hassan Jawa selama 2 tahun dan kemudiannya telah mempelajari Silat Sendeng dan Silat Minangkabau.

Kemudian beliau mempelajari pula Tomoi Siam dari En. Osman b. Ahmad (Man Balak) sehingga beliau menjadi Guru Tomoi selama 2 tahun. Semasa menjadi Guru Tomoi, beliau begitu yakin bahawa tiada satu silat Melayu boleh mengalahkan Tomoi Siam.

Selain daripada ilmu persilatan, beliau telah mempelajari ilmu kebatinan melalui Ustaz Azizan (Izan). Di samping itu, beliau telah mempelajari cara-cara membuat ubat tradisional merawat penyakit kencing manis. Tuan Haji Ishak b. Itam juga pernah mendapat pendidikan agama secara formal di Pondok Tuan Haji Mat Salleh Mesir, Tanah Liat yang pada masa ini menempatkan Maktab Adabi. Kemudian belajar pula di Pondok Pokok Sena (tafsir) dengan Tuan Guru Haji Ahmad b. Tuan Haji Hussein.

Pada tahun 1969, YM Ustaz Haji Hanafi b. Haji Ahmad telah dapat membuka kelas di Bukit Mertajam bertempat di Kubang Semang iaitu terletak lebih kurang 2 batu dari Cawangan PSSCM Seberang Perai pada masa sekarang ini. Kelas ini adalah merupakan kelas pertama yang diwujudkan di Bukit Mertajam, dimana pada masa tersebut bergerak di bawah Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah.

Kelas ini telah diasaskan oleh Encik Abdullah b. Mohamad Zain dengan penyertaan seramai 16 orang penuntut. Dalam masa yang sama seorang tukang gunting rambut Encik Wan Omar telah berjaya mengajak YM Tuan Haji Ishak b. Itam untuk mempelajari Silat Cekak ini.

YM Tuan Hj Ishak bin Itam telah berjaya belajar silat ini selama 30 hari latihan sahaja. Setiap kali latihan, beliau sering dipukul oleh YM Ustaz Haji Hanafi dengan pokok teh pagar yang bertujuan hendak mengajar beliau supaya bersabar dan menerima ilmu silat ini dengan ikhlas hati dari tangan gurunya sendiri disamping menerima berbagai ujian dari gurunya.

YM Ustaz Hanafi b. Haji Ahmad kemudiannya telah melantik beliau menjadi jurulatih. Sepanjang penglibatan beliau sebagai jurulatih, banyak tempat dan Cawangan serta Kelas Latihan telah disertainya termasuklah di TUDM Butterworth (1977), Kepala Batas (1978), Cheruk Tok Kun (1975) dan di Kulim (1982). Beliau seringkali berulang alik mengajar silat ini di S. Perai dan P. Pinang.

Apabila YM Ustaz Haji Hanafi kembali ke Rahmatullah pada 13 Ogos 1986, YM Tuan Haji Ishak bin Itam telah diisytiharkan sebagai YM Guru Utama pada 21 September 1986. Kelas pertama diijazahkan oleh beliau sebagai Guru Utama adalah di UPM pada 13 Oktober 1986 seramai 27 orang. YM Tuan Haji Ishak b. Itam terus menerajui PSSCM sehingga 3 Jun 2009.

5 comments:

  1. YM Tuan Hj Ishak bin Itam Guru Utama PSSCM dari 1986 sehingga kini. hakikatnya masih belum ada pengganti

    ReplyDelete
  2. minta maaf tuan,
    sy akan perbetulkan nanti.

    ReplyDelete
  3. Tuan Hj Ishak Bin Itam... Guru Utama PSSCM hingga kini. Jangan terpedaya dengan paluan gong dari AJK PUSAT

    ReplyDelete
  4. Pak Lang Kiwi - sila perbetul fakta anda...terima kasih....73 pintu hanya 1 jalan.

    ReplyDelete
  5. Dah dia tulis guru dia yang ke2 siap tulis tarikh 2009 tarikh akhir Almarhum Ustaz mentadbir PSSCM pun korang masih lagi tak dapat tangkap ke?
    Pak Lang Kiwi ialah pengikut kepada Hj Maideen.

    ReplyDelete