Monday, December 31, 2012

TERTIB DALAM AMALAN: Syariat,Tarikat,Hakikat& Makrifat

Kalau Tuhan tidak 'wujud' di dalam ibadah, lama
kelamaan, Tuhan akan bertambah jauh dan
bertambah jauh. Lebih-lebih lagilah kalau tujuan
dan niat ibadah itu adalah untuk dipuji, untuk
disanjung, dan kerana sebab-sebab lain yang
berbentuk duniawi. Sudah tentulah ia tidak akan
ada nilai apa-apa. Malahan ibadah seperti ini akan
Allah lemparkan semula ke muka pengamalnya
beserta dengan laknat-Nya sekali. Lagi banyak dia
beribadah, lagi dia rasa sombong, angkuh, riyak,
ujub, rasa diri mulia, rasa diri baik dan
sebagainya. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia
pandang orang lain hina, jahat dan tidak
berguna.
Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada
"progression"nya dari satu tahap ke tahap yang
lebih tinggi. Ia bermula dengan Syariat, kemudian
dengan Tariqat, diikuti pula dengan Hakikat dan
diakhiri dengan Makrifat.
1. Syariat.
Ini adalah ilmu. Ia melibatkan ilmu tentang
peraturan, hukum-hakam, halal haram, sah batal
dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa
ilmu, kita tidak tahu macam mana hendak beramal
mengikut cara yang Tuhan mahu. Kalaupun kita
sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita
terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh
berbuat demikian ikut sesuka hati kita atau ikut
cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak terima,
kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam
dan kita mesti belajar. Amalan tanpa ilmu itu
tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat biji benih.
2. Tariqat.
Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi
amalan secara istiqamah dan bersungguh-
sungguh, difahami, dihayati. Ilmu [syariat] yang
ada perlu dilaksanakan. Pengamalan ilmu ini
dinamakan juga tariqat wajib dan ia tidak sama
maksudnya dengan tariqat sunat yang
mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang
menjadi amalan setengah pengamal-pengamal
sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih
tadi [syariat] hingga ia bercambah, tumbuh dan
menjadi sebatang pokok yang bercabang dan
berdaun.
3.Hakikat.
Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat,
kemudian kita amalkan syariat itu hingga ia naik
ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi sebatang
pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau
cukup syarat-syaratnya maka pokok itu akan
menghasilkan buah.
Buah tariqat adalah akhlak dan peningkatan
peringkat nafsu atau pencapaian maqam-maqam
mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam
sabar, maqam redha, maqam tawakkal, maqam
tawadhuk, maqam syukur dan berbagai-bagai
maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam
sahaja [sebiji buah sahaja] atau boleh jadi akan
terhasil beberapa maqam berbeza dari satu pokok
yang sama.
Hakikat juga adalah satu perubahan jiwa atau
perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan
tariqat yang dibuat dengan bersungguh-sungguh,
istiqamah, faham dan dihayati.
4. Makrifat.
Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat
yang dapat dirasai secara istiqamah. Ia adalah
satu tahap kemajuan rohaniah yang tertinggi
hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan
rahsia-rahsia-Nya. Orang yang sudah sampai ke
tahap ini digelar Al Arifbillah.
Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan
ini bermula dari yang lahir dan berakhir dengan
yang batin.
Syariat dan tariqat itu terletak dalam kawasan
lahir.
Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke alam
batin iaitu ke dalam hati dan rohani.
Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat
dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak
mudah untuk dicapai kerana ia hanya melibatkan
usaha lahir. Tetapi untuk mencapai peringkat
hakikat dan makrifat, ia agak lebih sukar dan lebih
rumit.
Kesukaran ini ialah kerana pertama, ia
memerlukan istiqamah dalam beramal dan kedua
kerana ia memerlukan juga amalan batin atau
amalan hati atau apa yang dinamakan hikmah.
Amalan yang berhikmah ialah amalan yang
dihayati dan dijiwai, yang mempunyai roh dan
rasa-rasa. Tanpa kedua-dua perkara ini iaitu
istiqamah dan hikmah, tariqat tidak akan dapat
melonjak ke peringkat hakikat dan seterusnya ke
peringkat makrifat.
Itu sebabnya ramai orang yang berjaya sampai ke
peringkat tariqat iaitu boleh berilmu dan beramal
tetapi tersekat di situ sampai ke tua tanpa dapat
meningkat ke peringkat hakikat. Sudah beramal
selama 50 hingga 60 tahun tetapi tidak juga lahir
akhlak dan tidak juga dapat mencapai maqam-
maqam mahmudah. Dalam ertikata yang lain,
mereka sudah beribadah berpuluh-puluh tahun
tetapi ibadah mereka belum menghasilkan buah
iaitu akhlak.
Istiqamah.
Ini adalah salah satu syarat atau tuntutan untuk
mencapai hakikat. Istiqamah ialah tetap dalam
beramal. Amalan pula adalah amalan lahir dan ada
amalan batin atau hati. Istiqamah itu perlu dalam
amalan lahir mahupun amalan batin. Malahan
istiqamah dalam amalan batin lebih dituntut.
Istiqamah dalam amalan lahir agak mudah. Ramai
orang yang istiqamah dalam sembahyang, dalam
berpuasa, dalam berzakat dan sebagainya. Ramai
yang tak tinggal sembahyang, tak tinggal puasa.
Tetapi istiqamah dalam amalan batin adalah lebih
sukar dan rumit. Istiqamah dalam amalan batin ini
ramai yang tidak mampu melakukannya walaupun
sudah istiqamah dalam amalan lahir.
Ramai orang cuba sabar tapi tidak istiqamah
dalam sabar. Duit hilang boleh sabar. Sakit dan
demam boleh sabar. Tapi bila orang kata nista dan
menghina, tidak sabar. Bila isteri buat hal, tidak
sabar.
Ramai orang boleh bersyukur. Dapat duit
bersyukur, dapat pangkat bersyukur, dapat anak
pun bersyukur tapi tidak mampu bersyukur bila
dapat berbuat ibadah dan kebaikan, dan bila
terhindar dari berbuat maksiat dan kejahatan.
Ramai orang boleh jadi pemaaf kalau yang
meminta maaf itu kawannya, isterinya atau
anaknya. Tapi kalau yang meminta maaf itu musuh
atau seterunya, susah dia hendak maafkan.
Ramai orang boleh berbuat baik kepada
kawannya, sanak-saudaranya, ibu dan ayahnya
yang selalu berbuat baik padanya tetapi tidak
sanggup berbuat baik kepada orang yang berbuat
jahat padanya.
Ramai orang boleh bertegur sapa dan bermesra
dengan kawan-kawannya tetapi tidak boleh
bertegur sapa dan bermesra dengan orang yang
dibencinya. Begitulah seterusnya.
Sangat susah dan payah untuk kita beristiqamah
dalam amalan hati. Justeru itu ia tidak dapat
dijadikan pakaian atau ia tidak dapat mendarah
mendaging. Itu sebab istiqamah itu, terutamanya
istiqamah batiniah sangat dipandang besar. Ia
dianggap satu keramat.
Ada hadis yang maksudnya lebih kurang ;
"janganlah kamu meminta jadi wali, tapi mintalah
istiqamah"
Amalan yang tidak istiqamah tidak akan ada kesan
apa-apa pada hati. Amalan yang istiqamah,
walaupun sedikit akan tetap ada kesan pada hati.
Ibarat air yang menitik ke atas batu, lama
kelamaan batu itu akan terlekuk jua. Tetapi air
banjir yang besar yang melanda batu sekali sekala
tidak akan memberi apa-apa kesan kepada batu.
Istiqamah adalah tanda ikhlas. Kalau sesuatu
amalan itu tidak ikhlas, ia sukar untuk
diistiqamahkan.
Seperti kata para hukama [ahli hikmah] ;
"Hidupnya [kekalnya] amal kerana ikhlas."
Dalam pada itu, istiqamah batiniah lebih memberi
kesan kepada hati daripada istiqamah lahiriah. Itu
sebabnya istiqamah batiniah lebih dituntut dan
lebih utama. Ia adalah amalan hati dan kerana itu
ia mempunyai kesan yang langsung dan terus
kepada hati.
Hikmah.
Ia adalah syarat atau tuntutan kedua untuk
mencapai hakikat. Hikmah di sini bukan
bermaksud bijaksana. Kalau bijaksana, orang
Arab akan sebut "Abqoriah". Hikmah di sini bukan
bermaksud ilmu atau setakat faham ilmu sahaja.
Hikmah ialah ilmu dalam ilmu. Hikmah adalah rasa
dan penghayatan. Ia adalah rasa yang Allah
campakkan ke dalam hati.
Untuk mendapat ilmu, kita boleh belajar. Tetapi
untuk mendapat hikmah, ilmu mesti diamal. Baru
ilmu itu bukan setakat di akal tetapi jatuh ke hati.
Ilmu hati ini sahaja yang boleh mengubah dan
menginsafkan orang.
Kalau ilmu lahir itu dikendalikan oleh akal,
hikmah pula ialah ilmu yang dikendalikan oleh roh
atau hati.
Seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis ;
Maksudnya ; "Kalau kamu amal ilmu yang kamu
tahu, Allah akan ajar kamu ilmu [hikmah] yang
kamu tidak tahu."
Untuk menjadi ulama itu senang. Tetapi untuk
menjadi ahli hikmah sangat susah. Ilmu adalah
apa yang kita belajar tetapi hikmah adalah apa
yang Tuhan ajar kita
seperti dalam firman Allah ;
Maksudnya ; "Hendaklah kamu bertaqwa kepada
Allah, Allah akan ajar kamu ilmu [hikmah].
Sesungguhnya Allah Mengetahui segala
sesuatu." [Al Baqarah : Ayat 282]
Orang yang mendapat ilmu hikmah, dia mendekati
nabi. Inilah dua perkara yang perlu dititik
beratkan kalau sekiranya amalan hendak
ditingkatkan dari peringkat tariqat kepada hakikat
dan seterusnya kepada makrifat.
Ia memerlukan penglibatan hati dan rohani dalam
ibadah dalam bentuk penjiwaan dan istiqamah
terutamanya istiqamah batiniah di samping
amalan lahiriah yang baik dan rapi.
Kalau hati dan rohani tidak turut sama beribadah,
agak mustahil perkara ini boleh tercapai.
Untuk mendapat buah dari ibadah iaitu akhlak
dan untuk mencapai maqam-maqam mahmudah,
ibadah mesti ada roh, mesti ada rasa-rasa, mesti
ada penjiwaan dan mesti ada penghayatan.
Salahlah orang yang menafikan amalan hati dan
amalan rohani dalam ibadah.
Kalau amalan lahir sahaja dititikberatkan maka ia
mungkin memadai di peringkat syariat dan tariqat
iaitu pada peringkat ilmu dan amal. Memang itu
kerja lahir. Tetapi untuk mendapat hasil dari ilmu
dan amal tersebut dan supaya ibadah boleh
mendidik hati, amalan lahir semata-mata tidak
memadai. Dalam ertikata yang lain, untuk
mencapai maqam hakikat dalam ibadah dan
amalan, itu bukan lagi kerja lahir. Itu adalah
kerja hati.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment