Wednesday, July 20, 2011
Hijab Kekasih
Aku telah ke Johor Bharu baru-baru ini atas tugasan yang agak mencabar juga. Tugasan aku kali ini adalah untuk memberikan latihan softskills kepada pelajar yang baru menamatkan pelajaran peringkat universiti tetapi masih belum berjaya meningkatkan jatidiri untuk mendapatkan perkerjaan yang sesuai. Program ini di taja khusus oleh Iskandar Development sebagai salah satu dari program Human Capital Management untuk membangunkan wilayah Iskandar dengan tenaga kerja yang berkualiti dan berwibawa.
Kebetulan pula aku menginap dengan seorang pelatih lain yang aku belum kenali sebelum ini. Inilah pertama kali aku berjumpa dengan Khalil. Khalil sangat membantu untuk menghidupkan hari-hari latihan selama dua minggu itu menjadi ceria dan bersemangat. Sebenarnya ada sebab kenapa Khalil ditempatkan bersama-sama dengan aku. Tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Katanya kami sama-sama tidak merokok dan ditempatkan bersama-sama supaya boleh bernafas dengan udara yang lebih segar ketika balik kebilik masing-masing.
Rupa-rupanya masih banyak orang yang belum mengenali Khalil. Khalil mempunyai minat yang agak unik dari yang lain. Khalil adalah seorang yang bersifat "eccentric". Apabila dia berjalan jauh atau keluar kawasan, beliau suka berjalan sendiri dan tidak mahu berjalan dengan teman-teman lain. Maka banyaklah mulut-mulut mengatakan Khalil menghidapi sejenis penyakit yang pelik dimana dia terpaksa berhenti disetiap tempat rehat rawat disepanjang hiway utara-selatan untuk menyelesaikan masalah yang dihidapinya.
Khalil juga suka meniru pelat bahasa India walaupun dia bukan dari keturunan India. Kadang-kadang dia terbawa-bawa pelat India ini semasa melakukan latihan. Yang paling menyeronokkan apabila kami berbincang dan keadaan menjadi agak gawat dan tegang maka dengan tidak semena-mena keluarlah pelat India Khalil dan semua akan terikut-ikut berbahasa Indianya dan perbincangan diakhiri dengan hilaian ketawa yang tak berkesudahan.
Satu lagi minat Khalil yang tidak boleh dihadapi oleh teman-teman pelatih yang lain adalah beliau suka bercakap-cakap serta menyanyi-nyanyi seorang diri. Bangun tidur dia menyanyi, masuk toilet dia menyanyi, masa berfikir dia menyanyi, masa makan dia menyanyi, masa nak tidur dia menyanyi dan masa aku telah tidur agaknya dia masih menyanyi lagi. Inilah juga agaknya tidak ramai yang sanggup berkongsi bilik dengan Khalil dan aku sudah mula bertanya-tanya apakah sebab sebenarnya aku ditempatkan satu bilik dengan Khalil.
Aku akhirnya terpaksa bertanya kepada Khalil apakah lagu yang sentiasa dinyanyikannya itu. Apakah yang menyebabkan dia selalu menyanyi walaupun dia seorang akauntan dan tambahlagi lagunya semua sumbang-sumbang belaka. Maka Khalil pun menceritakan bahawa dia sebenarnya peminat M. Nasir dan semua lagu-lagu yang dinyanyikan adalah lagu-lagu dari album M. Nasir. Khalil tidak pernah tertinggal untuk menghadiri mana-mana konsert M. Nasir dan hafal serta menyimpan semua lagu-lagu album M. Nasir.
Sebenarnya menurut Khalil, dia suka menyanyikan lagu-lagu M. Nasir tersebut bukan semata-mata kerana puisi dan lagu. Dia sangat mendalami senikata lagu-lagu tersebut dan katanya lagi, senikata lagu-lagu M. Nasir adalah berunsur ketuhanan. Album-albumnya juga akan memberikan gambaran tentang tahap serta proses pencarian M. Nasir sendiri dalam mendekatkan diri untuk bertemu dengan kekasihnya iaitu Allah. Khalil adalah didalam proses memahami maksud-maksud ketuhanan didalam lagu-lagu tersebut dan oleh sebab itulah dia menyanyi. Katanya lagi, inilah salah satu sebab kenapa dia suka berjalan jauh seorang diri kerana didalam kereta Kancilnya dia akan dapat menyanyi dan manghayati lagu-lagu tersebut tanpa gangguan.
Namun begitu, Khalil masih mencari-cari dan banyak maksud lagu-lagu tersebut yang dia belum fahami hakikatnya. Pernah beberapa kali dia berhajat untuk bertandang kerumah M. Nasir di Sg Buloh untuk bertanyakan maksud lagu-lagu tersebut tetapi hajatnya masih belum sampai.
Tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Apabila bercerita bab ketuhanan, maka akupun meminta Khalil memainkan satu lagu M. Nasir supaya aku fahami maksud sebenarnya dengan lebih mendalam. Apabila selesai mendengar lagu Hijab Kekasih, maka air mata akupun berlinangan kerana maknanya memang menusuk kalbu serta dapat aku rasai ketika aku sendiri mengembara kelangit terdekat didalam perjalanan mencari Tuhan. Khalil pun terpinga-pinga kenapa boleh terjadi sampai begitu.
Maka akupun terus menerangkan makna-makna hakikat akan senikata tersebut. Secara tidak langsung, maka beberapa persoalan bab hakikat ketuhanan yang Khalil masih tercari-cari sudah mendapat sedikit cahaya pencerahan. Akhirnya disepanjang tempoh latihan tersebut aku menjadi jurubahasa yang tidak resmi bagi Khalil setiap kali dia menyanyi bagi menerangkan kepadanya makna-makna ketuhanan didalam lagu-lagu tersebut.
Sampai sekarang aku masih dapat bayangkan Khalil masih menyanyi.
HIJAB KEKASIH
Malai rinduku merintih kecintaan
Duduk termenung hanya bingung kerinduan
Walaupun jauh dari nyata kasih dan sayang
Kasih dan sayang telah lama kusatukan
Semua kasihku dalam gemala
Ke laut jawi 'kan kukirimkan sana
Duhai kasih hijabmu di sini
Masyur rupamu di mata kalbi ini
Berbaringan diusik rindu azali
Di manakah kekasih yang jauh dariku
Memakan debu... rindumu
Segenap nafasku melihat renunganmu
Wangi dan harum kau kekasih
Antara lamunan segala kalimahku ini
Siapa yang mengerti
Menghilang tahun kutahan dahaga
Setelah habis madah untuk sang puteri
Pautan kasih kukenal sendiri
Teringin ku melihat sebalik hijabmu
Wajah yang kupuja
Kekasih... lama sudah aku merindu
Larut nan denai larat nan damai
Haram kelamin untuk kita bercerai
Rasa kasih dan sayang dalam keredaanmu
Notakaki
Khalil apabila tidur dia akan memasukkan bajunya kedalam seluar seperti hendak kepejabat. Khalil juga sangat pantang dengan bau bedak dan dia akan bangun berdiri apabila kita memakai bedak semasa dia sedang tidur. Aku telah melakukan ujian dimana dengan sengaja memakai bedak ketika dia sedang solat dan adakah anda dapat bayangkan apakah yang akan terjadi ? Diantara ujian lain adalah cuba memakai bedak ketika Khalil sedang menyanyi apabila kita sudah pening kepala dengan nyanyiannya. Cuba bayangkan bagaimana Khalil menari apabila dia menyanyi lagu Bila Rumi Menari !
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment