Saturday, July 30, 2011

Bertindak sebelum terlambat

Kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew minggu lalu, mengenai kenapa negara sekangkang kera itu memerlukan pertahanan yang begitu kuat sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua. Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika pegawai-pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kuan Yew merujuk kepada Malaysia dan Indonesia sebagai ancaman utama kenapa negara itu perlu pertahanan yang kuat.
 
Dalam bersedia menghadapi ancaman tersebut, negara anak didik Yahudi ini membelanjakan RM35.5 bilion untuk pertahanan pada tahun lalu, tertinggi di Asia Tenggara dan mungkin juga di Asia. Berbanding negara sebesar kita, sejak lebih 23 tahun yang lalu, perbelanjaan pertahanan negara membabitkan RM180 bilion sahaja. Purata perbelanjaan pertahanan setiap tahun hampir 2.5 peratus daripada KDNK negara antara 1987 hingga 2004. Bermaksud lebih lima tahun, belanja pertahanan Singapura bersamaan lebih 23 tahun belanja pertahanan kita. Lihatlah betapa jauhnya kita ketinggalan dalam aspek pertahanan negara.
 
Perbelanjaan pertahanan merupakan yang kedua terbesar dalam bajet negara sehinggalah krisis kewangan global melanda Malaysia pada 2008, menyebabkan ia diatasi oleh perkara lain dalam bajet 2009. Namun begitu, perbelanjaan pertahanan kita telah meningkat lebih lima kali ganda dari RM2.09 bilion pada 1987 kepada RM11.013 bilion pada 2010 (enam peratus belanjawan negara).
 
Jumlah ini masih kecil berbanding dengan negara jiran yang sebenarnya itulah ancaman kita. Apakah kita tidak takut dengan ancaman baru hari ini. Tidakkah terlepasnya Pulau Batu Putih menjadi pengajaran kepada kita? Saya yakin, pulau tersebut masih menjadi milik kita, jika pertahanan kita mengatasi negara Singapura. Malangnya, kita terus bersangka baik dan memberikan 'khidmat percuma' seperti isu air kepada negara 'sejahat' itu. Pernahkah mereka mengenang budi?
 
Menurut Kuan Yew, tanpa pertahanan yang kuat, tidak akan wujud Singapura. Negara ini akan 'dimakan' oleh negara-negara jirannya, dirujuk Malaysia dan Indonesia.
 
Dari segi perancangan strategi dan keselamatan, saya tidak nafikan jawapan tersebut. Tetapi dari sudut lain, jawapan ini amat bongkak dan sombong. Beliau tidak sedar, tanpa pertolongan Malaysia, tidak wujud Singapura. Namun, sifat ultra kiasu telah mengatasi segalanya. Negara ini telah berjaya keluar daripada kemelut ketakutan.
Hari ini, kita pula takut kepada negara sekecil itu yang begitu bergantung air kepada kita. Itupun mereka masih menang. Kita kelihatan masih kalah, walaupun harta itu kepunyaan kita.
 
Singapura adalah sebuah pulau Melayu yang terletak di kepulauan Melayu. Jika ditakdirkan Tunku Abdul Rahman bertindak menangkap Kuan Yew dan mengadakan perintah berkurung sebelum berpisahnya Singapura dari Malaysia pada 1965, sudah tentu pulau tersebut hari ini milik kita.
 
Tetapi adakah Tunku bertindak sedemikian? Walaupun pada ketika itu, kita mampu untuk bertindak, kerana kuasa polis dan tentera masih berpihak di tangan Melayu?
 
Saya fikir Tunku berfikir panjang sebelum bertindak. Inilah sifat dan toleransi Islam yang perlu dihargai. Saya yakin, jika tidak ada pertimbangan ini atau jika pemimpin kita ketika itu tidak Islam, mempraktikkan sistem komunis, sudah lama Kuan Yew dihumban ke dalam penjara.
 
Hari ini beliau berlagak sombong dengan kenyataan yang langsung tidak mengenang budi. Apakah kita masih terus mahu berlembut ibarat menarik rambut dalam tepung? Zaman berlembut sudah berakhir. Saya tidak pasti apa pandangan Tuan Guru Nik Aziz yang begitu ghairah menyambut Kuan Yew sebelum ini.
 
Kita sepatutnya bertindak sezalim Kuan Yew, yang menghumban golongan yang menentangnya ke dalam penjara kerana kewujudan mereka dikatakan mengganggu ketenteraman dan perancangan Singapura. Maka tidak hairanlah orang Melayu Singapura seperti Dr. Lili Zubaidah yang cerdik tidak mendapat tempat di Singapura, hanya kerana tidak sekapal dengan Kuan Yew.
 
Jika Malaysia bertindak sedemikian kepada pembangkang hari ini, apakah perkara ini dapat diterima? Tetapi perkara sebegini adalah biasa di Singapura. Kenapa kumpulan hak asasi manusia ini tidak bangun menentang tindakan Kuan Yew?
 
Malah ramai ultra kiasu di negara ini yang begitu memuji Singapura. Hanya kerana mereka sekapal. Bayangkan jika kita bertindak seperti mana Singapura bertindak, akan hebohlah satu dunia bahawa Malaysia mengamalkan sistem regim komunis dan mengabaikan hak asasi manusia.
 
Kuan Yew bertindak mematikan orang yang diistilahkan 'tidak berguna' (duds) walaupun mereka dipilih oleh rakyat. Golongan ini, pada beliau tidak perlu berada dalam Parlimen dan kerajaan. Tindakan Kuan Yew langsung tidak dipertikaikan oleh ultra kiasu di Malaysia.
 
Kuan Yew begitu disanjung dan mendapat pujian ultra kiasu saban hari kerana dikatakan berjaya memajukan Singapura. Mereka sanggup lupakan 'kekejaman' beliau hanya kerana sekapal. Justeru, kita perlu berhati-hati dengan kelicikan golongan ini sebelum terlambat.
 
Terlalu bertoleransi juga tidak sepatutnya berlaku. Dengan sebab itu, dalam pemerintahan Islam, ada unsur demokrasi dan ada unsur autokrasi. Jika tindakan seseorang boleh menjahanamkan agama dan negara, maka tindakan nekad perlu dilakukan untuk menjaga kepentingan awam.
 
Saya fikir sudah sampai masanya negara kita mengambil pendekatan berhati-hati sebelum terlambat. Memang kita memerlukan Singapura. Johor Bahru akan bankrap tanpa Singapura.
 
Tetapi kita perlu fikirkan pelan jangka panjang supaya tidak terlalu bergantung kepada Singapura, walaupun tidak dinafikan pulau itu juga terlalu bergantung kepada kita. Kita mesti ingat, bahawa pulau itu mendapat sokongan Yahudi, sedangkan kita tidak.
 
Jika ditakdirkan kita putuskan Tambak Johor, negara kecil itu masih lagi boleh survive sebab sekutu mereka masih ramai yang akan membantu. Negara kita bagaimana?
 
Justeru, projek Koridor Iskandar hendaklah dirancang dengan betul supaya jangan terlalu berharap kepada Singapura. Jangan biarkan mereka membeli tanah dan harta negara kita sewenang-wenangnya. Saya amat bimbang Johor akan menjadi Singapura kedua kerana pimpinan mereka amat licik. Lihat sahaja apa yang berlaku di Pulau Pinang.
 
Saya masih teringat kata-kata isteri Kuan Yew, mendiang Kwa sebelum meninggal baru-baru ini. Pesannya kepada Kuan Yew supaya jangan mempercayai orang Melayu dan Malaysia. Dalam kata lain, sampai mati pun, mereka masih tidak mempercayai kita. Apakah kita masih terus mahu bersangka baik?
 
Masa bersangka baik dan bermain dengan mereka sudah habis. Kini adalah masa untuk kita bekerja untuk berhadapan dengan mereka. Jika mereka boleh menyediakan RM35.5 bilion untuk pertahanan negara sekecil itu, sudah tentu kita perlu berbelanja lebih daripada itu. Jika tidak, kita akan 'dimakan' satu masa nanti, percayalah.
 
Saya pernah membuat kajian mengenai republik itu ketika membuat program ijazah sarjana pengajian strategi dan keselamatan. Ternyata memang sukar untuk kita menyainginya. Ketua Pengarang Kumpulan akhbar ini, Datuk Aziz Ishak pasti bersetuju dengan saya sebab kami mengambil kursus yang sama.
 
Justeru, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, pakar strategi dan semua panglima angkatan tentera, sepatutnya memikirkan dan bertindak untuk merangka strategi, apakah langkah terbaik yang perlu dilakukan untuk berhadapan dengan Yahudi kecil ini sebelum nasi menjadi bubur?
 
Kita perlu ingat, pemimpin Pulau Pinang difahamkan selalu ke sana untuk mencari idea. Apakah mungkin nanti akan wujud Singapura kedua, ketiga dan sebagainya?
 
Bertindaklah sebelum terlambat kerana masa tidak menunggu kita. Jangan terlalu banyak berpolitik, sehingga wang habis, akhirnya bidang pertahanan terabai. Musuh sedang melihat kita. Mereka sedang menunggu peluang untuk 'masuk' pada ketika waktu yang sesuai.
 
Ketika itu, jika mahu berjihad sudah terlambat. Apakah mungkin senjata batu boleh berhadapan dengan jet-jet pejuang dan kereta kebal seperti yang berlaku di Palestin? Sedangkan Allah SWT mahukan kita mengambil iktibar daripada kejadian lampau yang ditunjukkan.
 
Keruntuhan empayar Islam Othmaniyyah sudah cukup menyayat hati kita semua. Begitu juga keadaan di Iraq, Afghanistan dan Palestin hari ini. Apakah wajar kita hanya memerhati tanpa membuat apa-apa tindakan. Ya, kita wajar membantu tetapi pada masa sama, jangan abai kepentingan kita.
 
Perbelanjaan yang kurang memberikan impak kepada keselamatan hendaklah dikurangkan seperti perkara yang bersifat ceremonial, supaya kita dapat berjimat dan wang tersebut boleh disalurkan untuk pertahanan.
 
Jika tidak, saya bimbang, bila sampai masanya Allah SWT tarik semua nikmat yang dianugerahkan kepada kita seperti minyak dan gas. Kita akan menyesal seumur hidup. Hari ini seolah-olah kita terlalu bergantung kepada hasil minyak, sedangkan negara kita masih kaya dengan hasil lain.
 
Saya ingin cadangkan supaya kita ambil semua hasil keuntungan minyak ini setiap tahun untuk membangunkan pertahanan. Jika keuntungan Petronas lebih kurang RM50 bilion digunakan untuk pertahanan, saya yakin dalam jangka masa lima tahun, Malaysia muncul menjadi negara hebat di Asia dan mungkin di dunia.
 
Apapun, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada minyak dan gas sebagai sumber pendapatan utama negara. Sampai masanya minyak dan gas akan habis. Apakah ketika itu negara kita akan menjadi papa kedana?
 
Jadi, fikirkan sumber lain untuk menjana pendapatan negara kerana sumber minyak pasti akan habis. Sementara minyak masih ada, tumpukan usaha membangunkan pertahanan negara. Sebagai persiapan awal, kurangkan berbelanja ketika pilihan raya kecil DUN Tenang. Fikirkan masa depan negara. Kita tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang begitu besar untuk pilihan raya sekecil ini

Wednesday, July 20, 2011

Hijab Kekasih


Aku telah ke Johor Bharu baru-baru ini atas tugasan yang agak mencabar juga. Tugasan aku kali ini adalah untuk memberikan latihan softskills kepada pelajar yang baru menamatkan pelajaran peringkat universiti tetapi masih belum berjaya meningkatkan jatidiri untuk mendapatkan perkerjaan yang sesuai. Program ini di taja khusus oleh Iskandar Development sebagai salah satu dari program Human Capital Management untuk membangunkan wilayah Iskandar dengan tenaga kerja yang berkualiti dan berwibawa.

Kebetulan pula aku menginap dengan seorang pelatih lain yang aku belum kenali sebelum ini. Inilah pertama kali aku berjumpa dengan Khalil. Khalil sangat membantu untuk menghidupkan hari-hari latihan selama dua minggu itu menjadi ceria dan bersemangat.  Sebenarnya ada sebab kenapa Khalil ditempatkan bersama-sama dengan aku. Tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Katanya kami sama-sama tidak merokok dan ditempatkan bersama-sama supaya boleh bernafas dengan udara yang lebih segar ketika balik kebilik masing-masing.

Rupa-rupanya masih banyak orang yang belum mengenali Khalil. Khalil mempunyai minat yang agak unik dari yang lain. Khalil adalah seorang yang bersifat "eccentric". Apabila dia berjalan jauh atau keluar kawasan, beliau suka berjalan sendiri dan tidak mahu berjalan dengan teman-teman lain. Maka banyaklah mulut-mulut mengatakan Khalil menghidapi sejenis penyakit yang pelik dimana dia terpaksa berhenti disetiap tempat rehat rawat disepanjang hiway utara-selatan untuk menyelesaikan masalah yang dihidapinya.

Khalil juga suka meniru pelat bahasa India walaupun dia bukan dari keturunan India. Kadang-kadang dia terbawa-bawa pelat India ini semasa melakukan latihan. Yang paling menyeronokkan apabila kami berbincang dan keadaan menjadi agak gawat dan tegang maka dengan tidak semena-mena keluarlah pelat India Khalil dan semua akan terikut-ikut berbahasa Indianya dan perbincangan diakhiri dengan hilaian ketawa yang tak berkesudahan.

Satu lagi minat Khalil yang tidak boleh dihadapi oleh teman-teman pelatih yang lain adalah beliau suka bercakap-cakap serta menyanyi-nyanyi seorang diri. Bangun tidur dia menyanyi, masuk toilet dia menyanyi, masa berfikir dia menyanyi, masa makan dia menyanyi, masa nak tidur dia menyanyi dan masa aku telah tidur agaknya dia masih menyanyi lagi. Inilah juga agaknya tidak ramai yang sanggup berkongsi bilik dengan Khalil dan aku sudah mula bertanya-tanya apakah sebab sebenarnya aku ditempatkan satu bilik dengan Khalil.

Aku akhirnya terpaksa bertanya kepada Khalil apakah lagu yang sentiasa dinyanyikannya itu. Apakah yang menyebabkan dia selalu menyanyi walaupun dia seorang akauntan dan tambahlagi lagunya semua sumbang-sumbang belaka. Maka Khalil pun menceritakan bahawa dia sebenarnya peminat M. Nasir dan semua lagu-lagu yang dinyanyikan adalah lagu-lagu dari album M. Nasir. Khalil tidak pernah tertinggal untuk menghadiri mana-mana konsert M. Nasir dan hafal serta menyimpan semua lagu-lagu album M. Nasir.

Sebenarnya menurut Khalil, dia suka menyanyikan lagu-lagu M. Nasir tersebut bukan semata-mata kerana puisi dan lagu. Dia sangat mendalami senikata lagu-lagu tersebut dan katanya lagi, senikata lagu-lagu M. Nasir adalah berunsur ketuhanan. Album-albumnya juga akan memberikan gambaran tentang tahap serta proses pencarian M. Nasir sendiri dalam mendekatkan diri untuk bertemu dengan kekasihnya iaitu Allah. Khalil adalah didalam proses memahami maksud-maksud ketuhanan didalam lagu-lagu tersebut dan oleh sebab itulah dia menyanyi. Katanya lagi, inilah salah satu sebab kenapa dia suka berjalan jauh seorang diri kerana didalam kereta Kancilnya dia akan dapat menyanyi dan manghayati lagu-lagu tersebut tanpa gangguan.

Namun begitu, Khalil masih mencari-cari dan banyak maksud lagu-lagu tersebut yang dia belum fahami hakikatnya. Pernah beberapa kali dia berhajat untuk bertandang kerumah M. Nasir di Sg Buloh untuk bertanyakan maksud lagu-lagu tersebut tetapi hajatnya masih belum sampai.

Tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Apabila bercerita bab ketuhanan, maka akupun meminta Khalil memainkan satu lagu M. Nasir supaya aku fahami maksud sebenarnya dengan lebih mendalam. Apabila selesai mendengar lagu Hijab Kekasih, maka air mata akupun berlinangan kerana maknanya memang menusuk kalbu serta dapat aku rasai ketika aku sendiri mengembara kelangit terdekat didalam perjalanan mencari Tuhan. Khalil pun terpinga-pinga kenapa boleh terjadi sampai begitu.

Maka akupun terus menerangkan makna-makna hakikat akan senikata tersebut. Secara tidak langsung, maka beberapa persoalan bab hakikat ketuhanan yang Khalil masih tercari-cari sudah mendapat sedikit cahaya pencerahan. Akhirnya disepanjang tempoh latihan tersebut aku menjadi jurubahasa yang tidak resmi bagi Khalil setiap kali dia menyanyi bagi menerangkan kepadanya makna-makna ketuhanan didalam lagu-lagu tersebut.

Sampai sekarang aku masih dapat bayangkan Khalil masih menyanyi.

HIJAB KEKASIH

Malai rinduku merintih kecintaan

Duduk termenung hanya bingung kerinduan

Walaupun jauh dari nyata kasih dan sayang

Kasih dan sayang telah lama kusatukan

Semua kasihku dalam gemala

Ke laut jawi 'kan kukirimkan sana

Duhai kasih hijabmu di sini

Masyur rupamu di mata kalbi ini

Berbaringan diusik rindu azali

Di manakah kekasih yang jauh dariku

Memakan debu... rindumu

Segenap nafasku melihat renunganmu

Wangi dan harum kau kekasih

Antara lamunan segala kalimahku ini

Siapa yang mengerti

Menghilang tahun kutahan dahaga

Setelah habis madah untuk sang puteri

Pautan kasih kukenal sendiri

Teringin ku melihat sebalik hijabmu

Wajah yang kupuja

Kekasih... lama sudah aku merindu

Larut nan denai larat nan damai

Haram kelamin untuk kita bercerai

Rasa kasih dan sayang dalam keredaanmu

Notakaki

Khalil apabila tidur dia akan memasukkan bajunya kedalam seluar seperti hendak kepejabat. Khalil juga sangat pantang dengan bau bedak dan dia akan bangun berdiri apabila kita memakai bedak semasa dia sedang tidur. Aku telah melakukan ujian dimana dengan sengaja memakai bedak ketika dia sedang solat dan adakah anda dapat bayangkan apakah yang akan terjadi ? Diantara ujian lain adalah cuba memakai bedak ketika Khalil sedang menyanyi apabila kita sudah pening kepala dengan nyanyiannya. Cuba bayangkan bagaimana Khalil menari apabila dia menyanyi lagu Bila Rumi Menari !

Monday, July 18, 2011

Perwatakan Ustaz Hanafi

Hanafi Haji Ahmad seorang tokoh yang tidak asing kepada peminat-peminat silat tanah air. Hanafi dilahirkan pada 1923 di Kampung Sungai Baru, Mukim Gunung, Alor Star, Kedah. Anak sulung kepada tujuh orang adik beradik seibu sebapa. Berketurunan Melayu Kedah, ibu bapa Hanafi bekerja sebagai petani dan penghidupan mereka anak beranak boleh dikatakan senang, walaupun tidak mewah.

Hanafi telah mendirikan rumahtangga dengan Maimunah Binti Osman pada akhir tahun 1947, berasal dari Bukit Mertajam, Seberang Perai, Kedah. Hasil dari perkongsian hidup mereka telah dikurniakan enam orang anak, lima lelaki seorang perempuan.

Menurut ibunya Hajjah Zainab, sejak kecil Hanafi mempunyai peribadi berlainan dari adik beradiknya dan kawan-kawan saingannya. Kebijaksanaannya berfikir, melaksanakan sesuatu pekerjaan jauh lebih baik dari rakan-rakannya yang lain. Ibunya ada mengikut petua orang tua-tua, diwaktu Hanafi dilahirkan urinya telah dibuangkan kelaut kerana mengikut petua orang tua-tua akal bayi itu kelak akan luas seperti laut itu juga.

Hanafi sejak kecil lagi berminat untuk belajar. Segala pelajaran yang di pelajari mudah difahami.

Hanafi juga mempunyai sifat berani. Timbul sifat berani mungkin kerana mungkin ia merupakan anak yang tertua. Juga merupakan orang yang berani diketika itu. Hanafi pernah melihat ayahnya menerajang orang kerana tujuan mempertahankan diri jadi sifat

Hanafi juga tidak mudah percaya kepada orang. Setiap kenyataan perlu dibuktikan kenyataannya samada benar atau tidak. Pernah suatu keberanian telah menjadi satu perkara semula jadi kepadanya – berani kerana benar. Ketika dirumah neneknya bernama Tok Esah, oleh kerana khuatir jambu kelingnya dicuri orang beliau mendakwa sesiapa yang memakannya akan sakit perut. Hanafi tidak percaya atas dakwaan orang tua itu. Suatu malam dicurinya buah jambu tersebut dan dimakannya, tidak pula memudaratkannya. Dari pengalaman ini tahulah ia yang Tok Esah berbuat demikian kerana muslihat lain.

Hanafi juga seorang kanak-kanak yang degil kerana tidak mahu mengikut nasihat orang. Bila dewasa sifat-sifat ini masih kekal. Kebijaksanaannya membolehkan Hanafi berfikir, merancang dan membuat keputusannya tanpa meminta pandangan orang lain.

Menurut Dr. Mohd Zain Haji Osman yang tinggal sekampung dengan Hanafi berpendapat:

"Hanafi itu memang seorang yang pandai berhujah, agresif, berjiwa Melayu tulin, bijak, hanya menerima nasihat jika kena pada tempatnya. Tidak suka menunjulkan diri, tidak suka diampu dan menganpu, pendiriannya tegas dan pandai menyesuaikan diri, pakaiannya mengikut aliran zaman."

Beliau menambah lagi :

"Dia juga seorang yang cergas, rajin membaca, cenderung kepada keagamaan dan mempunyai jiwa dakwah yang kuat; oleh itu Hanafi memang lebih layak untuk menjadi seorang pemimpin"

Abdul Rahman Mahadi seorang sahabatnya, berpendapat, " Hanafi seorang yang berani, luas pandangan, dan lebih suka menggunakan fikiran sendiri ".

"Hanafi itu seorang yang keras hati, tidak suka mendengar pendapat orang lain walaupun gurunya sendiri jika didapati tidak bersesuaian dengan jiwanya. Suka menolong orang susah, tidak hairan dengan orang hartawan dan berpangkat. Fikirannya maju kehadapan dan dapat mengatasi pendapat orang lain dalam segala bidang sama ada, politik dan silat ".
beliau menambah lagi:

"Memang sejak kecil lagi ia merupakan seorang yang berani pada jalan yang benar, berani bertikam lidah dengan sesiapa sahaja dan berani mengeluarkan pendapat ".

Shahnon Ahmad, yang pernah mengenali Hanafi berpendapat :

"Hanafi banyak mempelajari dari pengalamannya sendiri – melalui bacaan-bacaan yang luas dan tidak mahu bertolak ansur dengan orang lain kerana teguh dengan pendiriannya yang tegas. Bukan seorang yang konservatif, statik dalam segala bidang. Liberal dalam hal-hal yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam".

Beliau menambah lagi:

"Hanafi mempunyai fahaman yang luas di bidang agama. Mengkaji sampai keinti-intinya dan ajaran mengenai Islam mudah difahami. Tetapi ia tidak mempunyai ramai kawan kerana peribadinya yang tidak mahu bertolak ansur. Orang yang tidak mengenalinya akan mengatakannya seorang yang sombong dan cakap besar".

Menurut keterangan sahabatnya Husin Ahmad:

"Hanafi seorang yang berani dalam perjuangan. Fahaman kebatinannya kepada Allah Taala sangat dalam. Suka mencari benda-benda yang ajaib yang berlandaskan ugama Islam".

Disini dapat disimpulkan bahawa Hanafi seorang yang layak untuk menjadi pemimpin sebuah Persatuan Silat yang menghadapi berbagai-bagai tentangan untuk mencapai matlamatnya.

Friday, July 15, 2011

99 JALAN KE SYURGA

1. Bersyukur apabila mendapat sebarang nikmat;

2. Sabar apabila mendapat sebarang kesulitan;

3. Tawakkal apabila mempunyai sebarang rancangan;

4. Ikhlaskan diri dalam segala amal perbuatan;

5. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan;

6. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan;

7. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan;

8. Jangan hasad dengan kekayaan orang;

9. Jangan hasad dan iri atas kejayaan orang lain;

10. Jangan sombong kalau memperoleh kejayaan;

11. Jangan tamak kepada harta;

12. Jangan terlalu mengejar sesuatu kedudukan;

13. Jangan hancur kerana kezaliman;

14. Jangan rasa tergugat kerana fitnah;

15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri;

16. Jangan menambahkan harta dengan harta yang haram;

17. Jangan sakiti ayah dan ibu;

18. Jangan usir orang yang meminta-minta;

19. Jangan sakiti anak yatim;

20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar;

21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil;

22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid);

23. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyu';

24. Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid;

25. Biasakan solat malam;

26. Perbanyakkan zikir dan do'a kepada Allah;

27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat;

28. Sayangi dan santuni fakir miskin;

29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah;

30. Jangan marah secara berlebih-lebihan;

31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan;

32. Bersatulah kerana Allah dan berpisahlah kerana Allah;

33. Berlatihlah menumpukan fikiran;

34. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila kerana sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi;

35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan;

36. Jangan percaya ramalan manusia;

37. Jangan terlampau takut miskin;

38. Hormatilah setiap orang;

39. Jangan terlampau takut kepada manusia;

40. Jangan sombong, takabbur dan besar kepala;

41. Berlakulah adil dalam segala urusan;

42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah;

43. Sentiasa perhatikan kebesaran Allah pada alam persekitaran;

44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran;

45. Hubungkanlah silaturrahim;

46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam;

47. Berbicaralah secukupnya;

48. Beristeri/bersuami kalau sudah siap segala-galanya;

49. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu;

50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur;

51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit batin;

52. Sediakan waktu untuk bersama keluarga;

53. Makanlah secukupnya, tidak kekurangan dan tidak berlebihan;

54. Hormatilah kepada guru dan ulama;

55. Sering-sering bersalawat kepada Nabi SAW;

56. Cintai keluarga (Ahlul Bait) Nabi SAW;

57. Jangan terlalu banyak berhutang;

58. Jangan terlampau mudah berjanji;

59. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara;

60. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti kata-kata yang sia-sia;

61. Bergaullah dengan orang-orang soleh;

62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar;

63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah berkemampuan;

64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita;

65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan;

66. Jangan membenci seseorang kerana fahaman dan pendiriannya;

67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita;

68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan;

69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang kesulitan;

70. Jangan melukai hati orang lain;

71. Jangan membiasakan berdusta;

72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan kerugian;

73. Jagalah amanah dengan penuh tanggungjawab;

74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan;

75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita;

76. Jangan membuka aib orang lain;

77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berjaya dari kita;

78. Ambillah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana;

79. Sediakan waktu untuk menilai semula apa-apa yang sudah dilakukan;

80. Jangan sedih kerana miskin dan jangan sombong kerana kaya;

81. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara;

82. Kenalpasti kekurangan diri dan kenalpasti pula kelebihan orang lain;

83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara;

84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa;

85. Hargai prestasi dan pemberian orang;

86. Jangan habiskan waktu untuk sekadar hiburan dan kesenangan;

87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun kadangkala tidak menyenangkan;

88. Sediakan waktu untuk riadah yang sesuai dengan norma-norma agama dan keadaan diri kita;

89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fizikal atau mental kita terganggu;

90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana;

91. Lupakanlah kesalahan orang dan lupakanlah jasa kita;

92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang menyebabkan orang lain merasa terhina;

93. Jangan cepat percaya kepada berita tidak baik tentang sahabat kita sebelum dipastikan kebenarannya;

94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban;

95. Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan dengan tidak berlebihan;

96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan diri;

97. Waspadalah akan setiap ujian, cobaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan kehidupan;

98. Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan merosakkan;

99. Jangan berjaya di atas penderitaan orang lain dan jangan kaya dengan memiskinkan orang lain.

Tuesday, July 12, 2011

Monday, July 11, 2011

Sifat 20 Bagi ALLAH

Sifat-sifat Allah yang wajib diketahui oleh orang-orang Islam yang terkandung di dalam al-Quran berjumlah 20 sifat. Termasuk juga sifat-sifat Mustahil yang wajib diketahui.

BIL : 1
SIFAT WAJIB : WUJUD
MAKNA : Ada
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu ada. Mustahil Allah itu tiada.

BIL : 2
SIFAT WAJIB :QIDAM
MAKNA : Sedia
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu sedia ada. Mustahil didahului oleh Adam (tiada)

BIL : 3
SIFAT WAJIB : BAQA
MAKNA : Kekal
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu bersifat kekal. Mustahil ia dikatakan fana (binasa)

BIL : 4
SIFAT WAJIB : MUKHALAFATUHU LILHAWADIS
MAKNA : Tidak sama dengan yang baharu
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu tidak mempunyai sifat-sifat yang baharu yakni dijadikan dan dihancurkan. Mustahil bersamaan dengan yang baharu.

BIL : 5
SIFAT WAJIB : QIYAMUHUU BINAFSIH
MAKNA : Berdiri dengan dirinya sendiri
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu bersendiri. Mustahil tidak berdiri dengan dirinya sendiri atau berdiri pada lainnya.

BIL : 6
SIFAT WAJIB : WAHADAANIYAT
MAKNA : Esa
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu Maha Esa Dzat-Nya, Esa sifat-Nya dan esa juga perangai-Nya. Mustahil ia mempunyai Dzat, sifat dan perangai yang berbilang-bilang.

BIL : 7
SIFAT WAJIB : QUDRAT
MAKNA : Kuasa
SIFAT MUSTAHIL : Alah Taala itu Maha Berkuasa. Mustahil Allah itu lemah atau tidak berkuasa.

BIL : 8
SIFAT WAJIB : IRADAT
MAKNA : Menentukan
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu Menentukan segala-galanya. Mustahil Allah Taala itu terpaksa dan dipaksa.

BIL : 9
SIFAT WAJIB : ILMU
MAKNA : Mengetahui
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu amat mengetahui segala-galanya. Mustahil Allah tidak mengetahui.

BIL : 10
SIFAT WAJIB : HAYAT
MAKNA : Hidup
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu sentiasa hidup yakni sentiasa ada. Mustahil Allah Taala itu tiada atau mati.

BIL : 11
SIFAT WAJIB : SAMA
MAKNA : Mendengar
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu tidak tuli (pekak). Mustahil Allah tuli atau tidak mendengar.

BIL : 12
SIFAT WAJIB : BASAR
MAKNA : Melihat
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu sentiasa melihat. Mustahil Allah Taala itu buta.

BIL : 13
SIFAT WAJIB : KALAM

MAKNA : Berkata-kata

SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu berkata-kata. Mustahil Allah Taala itu tidak bercakap atau bisu.

BIL : 14

SIFAT WAJIB : QOODIRUN

MAKNA : Maha Kuasa

SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu amat berkuasa sifatnya. Mustahil bagi Allah memiliki sifat lemah atau tidak berkuasa.

BIL : 15

SIFAT WAJIB : MURIIDUN

MAKNA : Menentukan

SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu berkuasa menentukan apa yang dikehendakinya. Mustahil sifatnya terpaksa atau dipaksa.

BIL : 16

SIFAT WAJIB : AALIMUN

MAKNA : Maha Mengetahui

SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu maha mengetahui. Mustahil Allah Taala itu jahil atau tidak mengetahui.

BIL : 17

SIFAT WAJIB : HAYUUN

MAKNA : Hidup

SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu Maha Hidup dan menghidupkan alam ini. Mustahil pula Allah itu mati.

BIL : 18

SIFAT WAJIB : SAMI'UN

MAKNA : Mendengar

SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu maha mendengar. Mustahil jika Allah Taala tidak mendengar atau tuli.

BIL : 19

SIFAT WAJIB : BASIIRUN

MAKNA : Melihat

SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu melihat semua kejadian di muka bumi. Mustahil jika sifat Allah itu tidak melihat atau buta.

BIL : 20

SIFAT WAJIB : MUTAKALLIMUN

MAKNA : Maha Berkata-kata

SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu berkata-kata. Mustahil jika Allah Taala bisu atau tidak boleh berkata-kata.