Tuesday, April 26, 2011

Seni Silat Sendeng Malaysia

(berikut adalah sejarah ringkas Silat Sendeng Malaysia yg menjadi kebanggaan warga Johor)

Seni Silat Sendeng Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Seni Silat Sendeng Muar telah diasaskan oleh Allahyarham Haji Abd Hamid Hj Hamzah di Sungai Mati, Muar, Johor. Beliau telah mewarisi pembelajaran Seni Silat Sendeng ini dari ninda-ninda beliau yang terkenal dengan kehebatan ilmu kependekaran dan persilatan mereka sejak awal abad ke-20 yang silam.

Perguruan ini merangkumi persilatan dari 3 aliran yang terkenal dizaman silam iaitu Kuntau Telok Mas, Pukulan Sendeng dan Pukulan Sendeng 7 Hari. Ketiga-tiga jenis aliran persilatan ini diajar secara berperingkat yang dinamakan Kuntau 3 bulan, Sendeng dan Sendeng 7 Hari. Setiap satu diperturunkan sama seperti aliran persilatan yang asal tanpa mengubah atau mencampur aduk permainan.

Bagi Kuntau 3 Bulan pelajarannya terdiri dari tari dan langkah silat melayu yang asli seperti lela sembah, lompat tiong , lebah mengurap, lipat pandan dll, permainan senjata seperti keris, tumbuk lada , tekpi ,pedang , pedang perisai dan tembong. Juga terdapat belebat kuntau , pecah(kata) ,pernafasan lian dan pukul selain dari tangkapan dan kuncian. Dalam permainan Sendeng terdapat belebat, langkah dan pukul termasuk cara menyerang tangan kosong dan sparing. Permainan sendeng 7 hari lebih menumpukan kepada membaca gerak dan melapis pukul sendeng serta mengenali sasaran lemah pada lawan. Dalam peringkat ini cara bertahan atau menyerang tidak bergantung kepada lawan.

Salasilah dan Pengasas Seni Silat Sendeng

Long Mamat

Long Mamat ialah seorang pendekar keturunan Bugis yang berasal dari Pontian, Johor. Beliau bertanggungjawab mengembangkan ilmu Pukulan Sendeng di Muar pada penghujung kurun ke19 (1885-1910an). Long Mamat juga dikatakan pernah merantau ke Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan. Dipercayai beliau menggunakan nama dan gelaran yang berlainan pada tempat-tempat yang disinggahinya.

Dari mana asal Pukulan Sendeng yang dibawa oleh beliau tidak jelas tetapi terdapat 2 cerita bagaimana beliau mempelajari aliran persilatan ini;

Long Mamat mempelajari pukulan sendeng dari empat orang saudaranya diatas kapal. Kisah ini disampaikan oleh cicit Long Mamat kepada Allahyahyarham Hj Ismail Hj Hamzah.

Beliau mempelajarinya dari seorang bapa saudaranya di Parit Raja, Muar setelah ditewaskan sewaktu mencuba bapa saudaranya itu. Pada waktu itu beliau telah tamat berguru dengan 39 orang guru silat. Kisah ini diceritakan oleh seorang tua di Parit Bakar, Muar kepada Allahyarham Hj Ismail Hj Hamzah.

Menurut Bapak Aidinal Alrashid, seorang guru Pencak Silat Bugis-Makassar, Sendeng adalah sejenis aliran silat yang berasal dari Tanah Ugi atau tanah Bugis yang terletak di Sulawesi Selatan, Indonesia. Sendeng telah tersebar ke merata tempat di Indonesia dan juga Malaysia bersama-sama dengan penghijrahan orang-orang Bugis dan Makassar sejak ratusan tahun dahulu. Menurutnya lagi, Long Mamat mempunyai seorang anak yang dikenali sebagai Mat Koleng yang meneruskan usaha mengembangkan Pukulan Sendeng.

Pada awal abad ke 19 ( 1885-1910) Long Mamat yang pada ketika itu bermastautin di Padang, Muar, telah dijemput oleh penghulu mukim Serom, Muar, ketika itu iaitu Penghulu Hj Abdulah (ninda kepada YAB Menteri Besar Johor kini, Datuk Abdul Ghani Othman) untuk mengajar pukulan sendeng di Serom. Seramai 5 orang pendekar telah dipilih setelah diadakan satu pertandingan di Serom.

Kelima-lima orang itu ialah Hj Taman bin Dagang, Pak Unggal Khalil (adik Taman Dagang), Hj Mohd Arif Shamsu, Pak Habib dan Naib Nalang. Selain di Serom , Long Mamat juga mempunyai ramai murid terutama dikawasan Parit Bakar hingga ke Parit Raja, Muar. Salah seorang murid beliau yang dapat dikesan di Parit Samsu, Muar, ialah Haji Baba Bin Makruf (1901-1984). Anak cucu beliau di Pontian, Johor pula mengembangkan silat kuntau sendeng yang diterajui oleh cucunya iaitu Penghulu Zakaria Kasim.

Hj Hassan Hj Mahat(1838 - 1958)

Hj Hassan Hj Mahat ialah ninda kepada almarhum Hj Hamid Hamzah iaitu bapa kepada Hj Hamzah. Beliau diberi gelaran 'pendekar' oleh Almarhum Sultan Ibrahim (1895 – 1959) kerana kemasyuran dan ketokohannya dalam dunia persilatan.

Semasa remaja Hj Hassan Pendekar dan ayahnya berniaga ternakan ayam itik dari Kesang ke Singapura dan Kelang. Beliau adalah berketurunan Bugis dan berpindah ke Sungai Mati dari Kesang, Melaka, setelah Almarhum Sultan Muhamad Ali Iskandar Shah (1835-1855) menyerahkan Kesang kepada Almarhum Sultan Abu Bakar (1862-1895) pada tahun 1877.

Hj Hassan Pendekar yang bertubuh kecil mula mendalami ilmu persilatan dari bapanya Hj Mahat pada usia remaja. Kemudian beliau telah berguru pula dengan Hj Dollah Telok Mas yang terkenal kehandalannya di Telok Mas, Melaka. Hj Dollah juga masyhur dengan gelaran Hj Dollah Polong kerana kepantasan pukulannya. Silat yang dibawa oleh Hj Dollah sering dirujuk sebagai Kuntau Telok Mas kerana pada zaman itu nama silat diambil dari nama guru atau tempat asal guru yang membawanya. Dari Hj Dollah , Hj Hassan Pendekar juga telah mempelajari permainan senjata seperti keris, pedang, tumbuk lada, tekpi, pedang-perisai dan tembong. Beliau kemudiannya telah mengajar ilmu persilatan ini di Sungai Mati, Muar.

Semasa hayatnya Hj Hassan Pendekar sering menerima cabaran dari pendekar-pendekar yang lain dan termasuk juga ahli kuntau Cina dan India. Lantai serambi rumahnya dipenuhi kesan darah kering pendekar yang mencubanya. Beliau juga pernah dicuba oleh guru kuntau dan penjual ubat bangsa cina yang tahan digilis oleh lori beberapa minggu sebelum meninggal. Malah seminggu sebelum Hj Hassan Pendekar meninggal Allahyarham Hj Ismail dan Allahyarham Aziz Bai juga pernah menyerang beliau didalam gelap untuk menguji tetapi dapat ditewaskan oleh beliau.

Sebelum meninggal dunia Hj Hassan Pendekar telah mengijazahkan segala perkakas persilatan miliknya yang termasuk gendang, senjata dan buku catatan yang mengandungi petua dan mentera kepada Hj Abd Hamid dan adiknya Hj Ismail. Hj Hassan telah meninggal dunia pada 1958 pada usia sekitar 120 tahun. Anak beliau Hj Hamzah yang juga seorang pendekar telah meninggal pada 1942. Hj Hamzah tidak mengajar silat kerana menghormati guru dan bapanya Hj Hassan Pendekar.

Antara keistimewaan Hj Hassan Pendekar yang terkenal ialah bisa pukulan dan kepantasan kakinya. Sewaktu dicuba orang, 3 teknik yang sering digunakan ialah buang dalam dan luar serta petik. Beliau juga turut mengajar titik sasaran lemah pada badan(vital point). Sebagai seorang yang terkenal dengan ilmu pendekar dan masak dengan asam garam hidup, tabiat biasa beliau bila membuat pertunjukan atau bertanding samada didalam daerah atau diluar ialah naik ke pentas memperkenalkan diri dan mempelawa sesiapa sahaja yang tidak berpuas hati dan berhajat untuk mencubanya. Jika tidak berani dengan beliau mereka boleh mencuba dengan cucu-cucunya yang ketika itu berusia 10- 12tahun. Menurut Allahyarham Hj Ismail, perwatakan Hj Hassan Pendekar sebenarnya ialah periang dan ceria serta tidak pandai berbohong walau pun akalnya panjang. Ramai juga pencabar yang terkena dengan tipu helahnya.

Antara pesanan beliau untuk anak cucunya ialah; - raja jangan dilawan nanti kita dihalau, jangan dirapik(rapat) nanti kita dikuda - masak-masak pecah empat - tak semua kayu boleh dibuat batang tajak

Hj Taman bin Dagang

Taman Dagang terkenal dengan kebal dan gagah. Semasa hayatnya beliau telah berguru dengan ramai guru silat antaranya Long Mamat, Cikgu Kumudin dan Pendekar Putih. Sebelum berguru dengan ketiga-tiga guru ini beliau telah pun terkenal dengan kehandalannya. Bapa beliau, Tok Dagang ialah seorang pemburu gajah dan juga terkenal dengan kebal dan gagah. Taman Dagang pernah diuji oleh bapanya dengan direjam dengan lembing ketika tidur diserambi rumah setelah pulang dari merantau. Lembing itu dapat ditangkap dengan jari kakinya sahaja. Sewaktu berguru dengan Long Mamat beliau dikasihi oleh gurunya dan selalu dilatih secara rahsia selepas tengah malam apabila rakan –rakan yang lain telah tidur.

Taman Dagang juga sering berpasangan dengan Hj Hamzah dalam permainan pedang kerana kedua-duanya dikatakan tidak lut senjata. Selepas berguru dengan Long Mamat, Taman Dagang telah berguru pula dengan Cikgu Kumudin yang berasal dari Alai, Melaka. Cikgu Kumudin dijemput oleh Penghulu Hj Abdulah untuk mengajar di Serom. Pelajaran yang diajar ialah silat cekak iaitu permainan tangkap menangkap. Sebelum mengajar Cikgu Kumudin telah dicuba dahulu oleh Pak Ungal Khalil. Guru terakhir Taman Dagang ialah Pendekar Putih yang berasal dari Aceh. Pendekar Putih telah menjadi buruan raja Acheh dan melarikan diri ke Serom . Di Serom, Pendekar Putih telah memohon perlindungan Penghulu Hj Abdulah dan tinggal di rumah Taman Dagang. Beliau telah menurunkan pukulan dan lapis sendeng kepada Taman Dagang. Walau pun pukulan yang dibawa sama dengan Long Mamat tidak pula diketahui kaitan antara Pendekar Putih dan Long Mamat.

Raja Acheh kemudiannya telah menghantar 7 orang pendekar yang tahan dipahat biji mata untuk membawa Pendekar Putih pulang ke Acheh. Pendekar Putih dapat ditawan setelah lehernya dicekak dengan kayu berbentuk 'Y' dan dibawa ke Acheh. Kayu itu dan tekpi peninggalan Pendekar Putih masih ada dalam simpanan waris Taman Dagang. Apa yang terjadi kepada Pendekar Putih kemudian tidak diketahui walaupun beliau akhirnya mashyur di Jambi. Almarhum Hj Ismail pernah bertemu dengan anak murid Pendekar Putih bernama Hj Yusof Wilem di Festival Silat Nusantara di Johor Baharu sekitar tahun 1990an.

Antara keistimewaan Hj Taman Dagang selain dari kebal dan gagah ialah memiliki tendangan kaki yang pantas serta menewaskan serangan dari belakang dan didalam gelap.

Hj Mohd Arif Shamsu

Hj Mohd Arif bin Shamsu berasal daripada Sungai Mati, Muar, Johor. Beliau merupakan rakan sepeguruan Hj Taman semasa mendalami Pukulan Sendeng dan Sendeng 7 Hari daripada Long Mamat. Beliau juga telah menghalusi permainan sendeng dari Hj Taman setelah tewas sewaktu mencubanya.

Hj Mohd Arif terkenal dengan kemahiranya di dalam permainan 'Sendeng 7 Hari'. Pukulan Tujuh Hari ini dianggap 'Ilmu Pukul' atau 'Ibu Pukul' yang tertinggi di dalam pelajaran Seni Silat Sendeng. Ia berbeza dengan pukulan yang lain. Pukulanya lebih deras, pantas dan tangkas.

Beliau pernah merantau sehingga ke Patani dan Pulau Pinang untuk mencuba pukulan sendeng 7 harinya. Dikatakan ketika beliau mengajar di Pulau Pinang pada tahun 1939, Hj Hassan Pendekar telah ikut serta didalam rombongan beliau. Sebelum itu beliau telah mencuba Hj Hassan Pendekar. Walaupun pukulan tangan Hj Mohd Arif tidak dapat ditandingi oleh Hj Hassan Pendekar, kepantasan kaki Hj Hassan pula tidak dapat ditepis oleh Hj Mohd Arif.

Diantara murid beliau yang lain ialah Pak Teh Hassan. Pak Teh Hassan kemudiannya telah berguru pula dengan Hj Taman bin Dagang. Kemudiannya beliau telah menurunkan permainan Sendeng 7 Hari dan Melapis yang dipelajari dari Hj Mohd Arif dan Taman Dagang kepada Ibrahim Bin Kassim yang juga dikenali sebagai Ibrahim sidang. Ibrahim Kassim ini pula telah mengajar cucunya Abd Aziz Bin Abd Latif (Aziz Bai). Anak murid pertama khatam dengan Aziz Bai ini pula ialah almarhum Hj Ismail Hamzah. Almarhum Hj Ismail telah mengambil Pukulan Sendeng 7 hari dari Aziz sebelum berguru pula dengan kekandanya Hj Hamid dalam usia 22 tahun.

Hj Mohd Arif meninggal dunia pada penghujung tahun 1940an.

Hj Salleh Abd Karim

Hj Salleh Abd Karim lebih dikenali dengan gelaran kiyai dan Panglima Salleh , Batu Pahat. Beliau mengetuai orang-orang melayu menentang bintang tiga di Batu Pahat, Johor. Panglima Salleh telah dilahirkan pada tahun 1916 di Jorak , Muar. Semasa hayatnya telah berguru dengan ramai guru agama dan pendekar silat. Antara guru beliau yang diketahui ialah Kiyai Mustahir ,Pagoh dan Kiyai Arshad al Banjari. Dari kedua-dua guru ini beliau telah menuntut ilmu agama dan amalan perang yang berasaskan amalan Ayat 4.

Beliau mula memimpin orang melayu Batu Pahat pada usia 29 tahun iaitu sekitar tahun 1945. Serangan pertama keatas kubu pengganas komunis di Bukit Simpor dibuat selepas subuh19 April 1945 yang disertai oleh 38 orang penduduk kampung. Itulah pertama kali penduduk kampung menyaksikan kehebatan panglima Salleh dalam pertempuran. Pada tahun 1949, Panglima Salleh bersama-sama dengan Hj Abd Hamid telah mengetuai dua pasukan penduduk kampung untuk memburu Mat Indera.

Panglima Salleh juga diketahui amat benci kepada amalan-amalan khurafat seperti bertapa di gunung –ganang dsb. Panglima Salleh telah meninggal dunia pada 21April 1959 di hospital besar Johor Bahru kerana penyakit bengkak paru-paru.

Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah

Haji Abdul Hamid telah dilahirkan pada tahun 1927 di Sungai Mati sebuah pekan kecil yang terletak lebih kurang 10 km daripada Bandar Maharani, Muar, Johor. Beliau mula mengembangkan ilmu persilatan sendeng ini secara individu di peringkat awalnya sekitar tahun 1950-an dan kemudian menamakannya sebagai 'Silat Sendeng Muar' seterusnya berkembang serta diterima ramai di Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Haji Abdul Hamid telah mula berjinak-jinak dengan ilmu kependekaran pada tahun 1932, semasa berusia 5 tahun, dibawah asuhan dan bimbingan nindanya Haji Hassan Pendekar. Selama lebih kurang 10 tahun beliau telah mempelajari bukan sahaja sepak terajang silat malah seni dan tari silat serta cara menggunakan alat silat seperti pedang, keris, tumbuk lada, tek-pi, tembong, tongkat, tuas dan kerambit. Selain itu beliau juga turut mempelajari beberapa silat termasuk Silat Cekak, Belebat, Kuntau dan Silat Sembah.

7 tahun kemudiannya, lebih kurang pada tahun 1942, Haji Abdul Hamid berguru pula dengan nindanya Haji Mohd Arif bin Shamsu. Beliau mengajar Sendeng 7 hari kepada Hj Abdul Hamid bersama beberapa orang dewasa seperti PakNgah Hassan dll. Hj Abdul Hamid telah diuji dengan dipanggil naik ke rumah dan diserang dari belakang pintu. Serangan itu dapat dielak. Beliau mengakui Hj Abdul Hamid boleh menjadi guru. Seterusnya, pada tahun 1944, Hj Abdul Hamid menuntut pula dengan nindanya Hj. Taman. Dari Hj Taman, Hj Hamid telah mempelajari Pukul dan Lapis Sendeng. Hj Taman sangat tegas dalam menurunkan ilmu. Setiap satu belebat yang diajar mengambil masa 6 bulan. Waktu itu Hj Taman mengajar Hj Abdul Hamid secara bersendirian.

Bagi memantapkan ilmu keagamaan dan kerohanian pula, lebih kurang pada tahun 1945, Haji Abdul Hamid telah berguru dengan Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim yang lebih dikenali dengan panggilan Kiai Salleh atau Panglima Salleh di Batu Pahat. Sebelum Panglima Salleh menerima Hj Abdul Hamid untuk menjadi murid, beliau telah diuji terlebih dahulu dengan disuruh mengerjakan kebun selama 6 bulan. Hanya selepas 6 bulan barulah beliau bertanya nama Hj Hamid dan dipanggil untuk diperturunkan ilmu-ilmu keagamaan dan kebatinan. Hj Hamid telah berguru dan tinggal bersama Panglima Salleh selama 3 tahun iaitu dari tahun 1946 hingga 1949.

Sebelum dikhatamkan , Hj Abdul Hamid telah diuji kefahaman tauhid oleh gurunya dengan disuruh beramal didalam gua disebuah Bukit di Parit Sulong untuk mendapat ilmu dari harimau jadian. Hj Hamid yang faham dengan tujuan gurunya itu menolak dengan baik dan menyatakan lebih baik beliau beramal dimasjid. Panglima Salleh yang gembira dengan jawaban itu terus menyatakan bahawa Hj Abdul Hamid telah layak untuk dikhatamkan. Menurut Allahyarham Hj Ismail, Hj Abdul Hamid telah dikhatamkan didalam kelambu oleh panglima Salleh untuk mengelak dari dilihat oleh murid-murid yang lain. Dari Panglima Salleh, Hj Abdul Hamid telah menerima amalan ayat empat yang terus dikembangkan kepada ahli-ahli PSSSM.

Selain daripada, guru-guru yang tersebut Allahyarham Hj Hamid juga dikatakan telah berguru kepada guru-guru berikut yang diketahui:

Kiyai Mustahir, Pagoh

Panglima Lias, Pagoh

Hj Mohd Lip Bedu (Ilmu Tauhid)

Hj Abd Ghani, Jalan Daud, Muar

Dato Mohd Bakar (Kadi Besar, Johor)

Ustaz Sulaiman Sujak

Ustaz Ahmad Tunggal, Parit Sakai, Muar.

Disamping mengembagkan Seni Silat Sendeng, Haji Abdul Hamid juga cenderung dan terkenal di bidang masa memasak. Selain daripada itu beliau pernah diamanahkan untuk menjadi Imam Masjid Jamik Bukit Kangkar, Muar serta Ketua Kampung, Bukit Kangkar, Muar. Setelah hampir 58 tahun, beliau mengharungi liku-liku dan pahit manis belajar dan menggembangkan ilmu persilatan ini, demi mengekalkan kesinambungan warisan pusaka bangsa yang diwarisinyanya, pada tanggal 19 Mei 1990 bersamaan 23 Syawal ,1410 Hijrah , Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah telah kembali ke rahmatullah dalam usia 63 tahun. Al - Fatihah.

Haji Ismail bin Haji Hamzah

Pemergian Haji Abdul Hamid merupakan satu kehilangan besar bagi keluarga sendeng seluruhnya. Namun berkat asuhan beliau usaha untuk mengembankan Seni Silat Sendeng ini tetap diteruskan oleh anak-anak murid beliau dibawah pimpinan adinda beliau iaitu Haji Ismail bin Haji Hamzah yang dilantik sebagai Guru Utama. Beliau adalah anak ke-9 manakala Haji Abd Hamid adalah anak ke-3 daripada 13 orang adik beradik. Sebagai adik kepada Haji Abdul Hamid dan dibesarkan di kalangan keluarga pendekar, Haji Ismail turut menerima pendidikan Seni Silat Sendeng sejak awal lagi. Semasa berusia lima tahun beliau telah mula mempelajari selok belok persilatan dari nindanya Haji Hassan. Setelah berguru dengan nindanya itu, beliau telah mendalami ilmu persilatan dengan kekandanya ketika berusia dua puluh tahun.

Kepimpinan Haji Ismail telah menyaksikan Seni Silat Sendeng Muar didaftarkan secara rasmi dan dikenali sebagai Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia (PSSSM). Bertujuan memperkembangkan Seni Silat Sendeng secara bersistematik dan dapat bergerak berlandaskan undang-undang negara, di samping berusaha menyatupadukan ahli-ahli di bawah satu naungan, suatu perjumpaan bagi menubuhkan sebuah pertubuhan telah diadakan pada 24 Disember 1990, bertempat di Hotel Kuala Lumpur International, Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur. Perjumpaan yang dihadiri seramai 84 orang wakil daripada Johor, Melaka, Pahang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur, telah dirasmikan oleh wakil YB Datuk Abdul Ghani Osman (pada ketika itu Timbalan Menteri Kewangan) iaitu Tuan Haji Abdullah Mohd Ali, setiausaha sulit kanan beliau. Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan ketika itu, Encik Abdul Rahman Hassan.

Haji Ismail telah sebagai Presiden Jawatankuasa Penaja bagi menguruskan penubuhan Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia. Diatas usaha Jawatankusa Penaja di bawah kepimpinan Hj Ismail dan sokongan ahli-ahli, Seni Silat Sendeng telah berjaya didaftarkan secara rasmi pada 11 Julai 1992. Setelah tertubuh secara rasmi Seni Silat Sendeng telah terus bekembang maju dan pada tahun 1995 telah dijemput untuk turut serta sebagai salah satu displin seni beladiri yang bergerak dibawah program Rakan Muda -Rakan Wajadiri anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Ini membolehkan Seni Silat Sendeng bergerak dengan lebih cergas dan meluas sehingga bertapak di Malaysia Timur. Setelah hampir 10 tahun beliau memikul amanah menyebarkan Seni Silat Sendeng ini sehingga tersebar ke beberapa buah negeri lagi iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kelantan, Labuan dan Sabah, Haji Ismail telah dipanggil kembali ke Rahmatullah pada 22hb Mac 2002.

Sent from HTC Artemis

No comments:

Post a Comment