Saturday, May 22, 2010

Kisah Seorang Tua

Pada suatu petang yang indah, seorang pemuda tampan bersua wajah dengan seorang tua, tenang di bawah redupan pepohon jambu batu.

"Wahai orang tua, aku melihat kau mengajar silat. Apakah dengan silat itu kau boleh menangkis sebutir peluru?" kata pemuda itu dengan nada sinis. Orang tua itu tersenyum.

"Adakah kau mempunyai peluru?" soal orang tua itu kembali. Pemuda itu terdiam kerana dia tidak mempunyai senjata api, sedangkan dia bercakap tentangnya.

Angin senja terus bertiup menyanyikan melodi malam yang hampir menjelma.

"Apakah gunanya kita belajar silat? Sedangkan kita akan mati jua akhirnya?" soal pemuda itu kembali.

"Berpantang mati sebelum ajal." jawab orang tua itu ringkas, tegas dan penuh mistik.

"Namun itu tidak dapat menjelaskan mengapa kau harus mengajar kaum hawa bersilat. Perempuan itu bersifat lemah dari segi fizikal dan perawakannya lembut. Sedangkan silat adalah kerja pendekar!” ujar pemuda itu penuh yakin.

“Kau telah menjawab soalanmu sendiri.” sahut orang tua itu dengan tenang.

"Kepada orang lemah kita mengajar silat kerana mereka lebih memerlukannya untuk mempertahankan diri jika dibandingkan denga orang yang kuat. Bukankah yang selalu menjadi mangsa kejahatan adalah orang yang lemah? Sebenarnya, kejahatan itu suka kepada yang lemah dan takut kepada orang yang kuat." ujar orang tua itu lagi.

Kata-kata orang tua itu jatuh ke dalam kesedaran pemuda tersebut. Perlahan-lahan hatinya mula terbuka bagai bunga yang mekar pagi bagai gurun selepas hujan. Namun kesangsian masih melukis benang curiga di dalam cermin hatinya, lalu meledak menjadi bicara hangat.

"Aku tidak perlu belajar silat kerana aku tidak suka kepada pergaduhan. Aku seorang yang baik." kata pemuda itu kemudiannya.

"Tidak semua orang di dunia ini yang baik sepertimu.." sahut orang tua itu sambil melemparkan senyuman.

No comments:

Post a Comment