Persoalan pertama yang berbangkit di benak saya ialah tentang istilah kidung. Istilah tersebut begitu asing buat diri saya. Masuk SC baru kenal istilah kidung. Saya buka Kamus Dewan. Istilah kidung dirujuk pada nyanyian atau syair yang dinyanyikan. Lagu itu pula dihubungkan dengan nyanyian oleh orang Kristian dalam gereja. Kalau nama terbitan mengidungkan maka maknanya ialah menyanyikan atau melagukan.
Saya cuba kait-kaitkan terjemahan istilah tersebut dengan bidang persilatan. Sukar juga kerana tak mengena. Saya rujuk cikgu bahasa Melayu. Jawapan yang diberi adalah sama maknanya. Lantas dijawabnya bahawa istilah sebenar kidung mungkin berbeza dalam pengertian bidang persilatan. Saya diam sahaja. Menurutnya lagi, pengertian istilah itu dalam silat hanya diketahui oleh mereka yang mencipta nama buah tersebut. Tentu ada rahsia di sebalik pengalaman penciptanya. "Kalau nak tahu maka tanyalah orang mahir dalam bidang silat itu dahulu." Mudah sungguh jawapannya.
Walau bagaimanapun, saya terima jawapan beliau. Istilah Kidung tak ada kena mengena dengan istilah hiburan. Istilah kidung mempunyai pengertian tersendiri dalam bidang persilatan dan merupakan nama khas. Asal usul istilah kena tanya pada perekanya. Itulah kesimpulan saya. Saya simpulkan buat ketetapan hati saya. Tak ada persoalan lagi. Tak tanya pada Ustaz pun.
Sepanjang pengalaman saya mengajar silat, amat jarang sekali penuntut silat yang bertanyakan istilah kidung. Kalau adapun yang bertanya maka jawapan saya istilah itu adalah nama khas. Umpama nama manusia bergelar Mamat. Tak ada bahasa lain seperti bahasa Arab yang boleh memberi makna. Hanya rekaan pada pemberi nama. Nampaknya jawapan saya dapat memuaskan hati penuntut yang bertanya.
Satu persoalan lagi adalah berkaitan dengan gerak dalam buah tersebut. Ketika mempelajari buah Kidung Kiri, terasa celaru juga dengan istilah kaedah. Dikatakan oleh Jurulatih bahawa Kidung Kiri menggunakan kaedah gelek. Terfikir pula. Bila masa gelek dijadikan kaedah. Nak bertanya, malas. Cuma buat kesimpulan sendiri bahawa buah Kidung Kiri menggunakan kaedah A bersepadu dengan menggelekkan badan untuk masuk gerak ke dalam. Gelek merupakan gerak sampingan yang bersepadu.
Bukan mudah membuat buah ini. Kita memerlukan keberanian tanpa ragu-ragu ketika gelek ke dalam. Kesepaduan kaedah dan gelek perlu ada. Jika tidak, maka birulah dada. Kecualilah jika penumbuk pasangan kita membuat lencongan. Tak tepis pun tak apa. Pasti tak kena. Maka rugilah pasangan tersebut. Mudah pembelajaran tapi kurang mendatangkan kesan. Pada pasangan yang benar-benar ikut peraturan maka latihan buah ini amat sukar. Walau bagaimanapun setelah menguasai kaedah mengambil buah ini maka hebatlah pasangan pesilat tersebut.
Saya rasa, ketika pembelajaran buah Kidung Kiri, isu dan persoalan tentang cara pergerakan kaki telah tidak timbul lagi. Para penuntut telah jelas sama ada menggunakan tumit kaki atau hujung kaki. Setakat ini saya difahamkan bahawa semua Jurulatih bersetuju dengan penggunaan hujung kaki. Agaknya. Tapi pasti juga ada yang guna tumit kaki. Dikatakan takut urat belakang kaki kanan bengkak. Lemah tenaga batin.
Ada tiga tempat atau situasi yang sangat saya tekankan ketika membuat buah Kidung Kiri. Pertamanya kita perlu memastikan ketika gelek masuk, tapak kaki kanan tidak berubah dari tempat asal melainkan pergerakan pusing. Hanya kaki kiri yang langkah masuk dalam keadaan berani, cekal dan tanpa ragu-ragu atau tanpa teragak-agak.
Penekanan kedua ialah perbuatan tetak tangan setelah rapat dengan musuh. Jangan tampar nyamuk. Selalu saya pastikan, setelah menetak maka proses menjatuhkan pasangan kita perlu ada kesinambungan. Tangan kanan secepat kilat memegang pergelangan tangan pasangan kita untuk membuat jatuhan. Jangan bermalam. Kalau tak kuasai maka ulang-ulang hingga berjaya. Ketika buat buah, janganlah hendaknya anggap siku kiri yang menepis kaedah A boleh mematahkan tulung rusuk lawan. Tak nampak logiknya. Gelak dek orang. Pendapat baru yang tak ada di zaman saya.
Penekanan ketiga yang saya beri ialah ketika membuat jatuhan. Saya akan pastikan jatuhan dibuat pada tempat yang sama tanpa ada sebarang usaha mengubah kedudukan kaki. Maksudnya orang yang membuat buah jangan sesekali mengubah tapak kaki kanannya ke depan bagi memudahkan jatuhan. Jangan ambil mudah. Saya buktikan betapa menjatuhkan pasangan di tempat yang tetap, lain sakitnya berbanding jika kaki kanan melangkah ke depan.
Mungkin ada persoalan lain. Kalau ada kiri mana kanannya. Kalau ada Kidung Kiri tentu ada Kidung Kanan. Jangan banyak melayan. Katakan. Cekap kiri dulu baru belajar kanan. Beri harapan. Tapi mesti tunaikan. Satu masa tetap kita tunjukkan kehebatan Kidung Kanan. Tapi tegaskan betapa tersisih pergerakan tersebut. Pelarasan sah di zaman Ustaz. Jangan persoalkan.
No comments:
Post a Comment