Kedua-dua dokumentari dan drama itu yang terletak di bawah projek berjudul Suatu Ketika... itu menceritakan semula detik di sebalik pelbagai usaha pihak berkuasa untuk menjejaki Huat (Botak Chin). Ia juga merupakan satu tanda penghargaan kepada pihak berkuasa yang berjaya menumpaskan penjenayah yang digeruni itu.
Tangkal Besi yang diterbitkan Red Communication Sdn. Bhd. yang diarahkan oleh Pengarah profilik,
Saw Teong Hin itu dibintangi oleh Muniff Isa sebagai Huat, Aaron Aziz (DSP Kamal), Vanida Imran
(Salina), Hasnul Rahmat (Dr. Muslim) dan ramai lagi. Menurut Pengarah Urusan Red Communication, Lina Tan, pihaknya mendapat kerjasama yang baik dari polis. "Polis banyak membantu terutamanya untuk pakaian seragam polis yang lama," katanya pada sidang media di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Lina, lokasi pengambaran Tangkal Besi dibuat di Perak dan Kuala Lumpur. "Lokasi yang kami pilih bukan berdasarkan tempat asal Botak Chin dahulu. Cuma jalan ceritanya sahaja yang mengikut jalan cerita sebenar," katanya. Sementara itu, dokumentari Sepandai-Pandai Tupai Melompat pula akan membawa penonton menyelusuri perjalanan hidup Botak Chin.
Penjenayah yang dikehendaki pada era 70-an itu telah melangkah ke dunia jenayah setelah memasuki sebuah kumpulan yang digelar Gang 360. Dalam dokumentari itu juga turut menceritakan bagaimana kehidupan Botak Chin setelah dibebaskan dan berkerja sebagai penjual sayur. Ikutilah dokumentari ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Botak Chin dan polis yang tidak pernah kenal erti putus asa dalam membanteras penjenayah.
Projek Suatu Ketika... merupakan sebuah kempen bersama di antara Astro Citra (Saluran 131) dan Astro Prima (Saluran 105) memaparkan cerita sejarah yang diberi sentuhan kreatif dan diterjemahkan ke dalam drama bersiri.
No comments:
Post a Comment